"Kami , guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan adalah untuk berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang
bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-prinsip Rukunegara."
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman-berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
"Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini, kami menerima Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya:
1) TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
a. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
b. Bersikap adil terhadap setiap pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
c. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahui.
d. Membimbing atau mengajar seorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
e. Menunjukkan satu cara pakaian , pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang terbaik kepada pelajar.
f. Memelihara dan membaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
2) TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
a. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
b. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan rumah tangga.
c. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai
keadaan rumah tangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak
akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak
mengetahuinya.
d. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka
dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan
bijaksana.
e. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan
sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
f. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu
yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga
mereka.
3) TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
a. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh
merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun yang
bertentangan dengan Rukunegara.
b. Memupuk sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing dalam diri pelajar
supaya mereka boleh menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan
berguna, menghormati orang yang lebih tua, dan menghormati adanya perbezaan
kebudayaan, keturunan dan agama.
c. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala
tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil
bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
d. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara guru dengan ibu bapa, institusi
pendidikan dengan masyarakat.
e. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan
cendekiawan masyarakat.
f. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan
menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.
4) TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION
PERGURUAN
a. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
b. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai seorang guru.
c. Berusaha dengan sepenuhnya untuk menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
d. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
e. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan ini.
f. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru."
Catatan:
Guru yang dimaksudkan dalam konteks Tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah, menengah, dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.
Rujukan: Mok Soon Sang (2003). Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan Guru: Bahagian I: Kompetensi Profesional. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.