Sebagai seorang guru yang cemerlang, dia mesti mengamalkan ciri-ciri positif untuk mendidik generasi muda. Di Malaysia, kita boleh nampak banyak pemuda berjaya mencapai kejayaan mereka. Hal ini disebabkan mereka mempunyai seorang pendidik yang amat profesional. Namun, terdapat juga guru yang bersikap negatif yang menyebabkan kejayaan generasi muda kini tidak dapat dicapai. Hal ini boleh dilihat melalui salah satu sikap negatif yang sentiasa dilakukan oleh guru yang tidak bertanggungjawab iaitu ketidakhadiran ke kelas atau sekolah.
Ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang guru itu daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di sekolah mengikut masa yang telah ditetapkan. Ini menunjukkan apabila seseorang guru itu tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya seseorang guru itu tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja. Perkara yang sama boleh diperkatakan kepada pelajar sekolah yang tidak ke kelas ataupun sekolah pada waktu persekolahan tanpa sebarang alasan, mereka juga akan dianggap sebagai ponteng sekolah.
Dalam konteks guru, terdapat segelintir dari guru yang terlibat dalam gejala ponteng ini disebabkan sebab-sebab tertentu. Salah satu daripada kesan tekanan yang terlalu tinggi dalam kalangan guru boleh mengakibatkan pelbagai kesan seperti psikologi, fizikal, tingkah laku dan aktiviti sekolah. Guru yang berlakuan ini memang tidak dapat dinafikan bahawa dia akan membawa masalah yang amat serius kepada pihak sekolah. Namun, disebabkan kerjaya guru yang mencabar sudah pastinya mereka akan berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan sepanjang berada di sekolah. Akibat daripada tekanan yang dihadapi, tidak mustahil bagi seseorang guru bertindak untuk ponteng kerja.
Bagi jangka masa panjang, sekolah akan menjadi semakin lemah kerana tidak mempunyai kekuatan untuk membangun serta bersaing angkara sumber manusianya yang kerap ponteng kerja. Perkara yang sama boleh berlaku ke atas sekolah jikalau guru-gurunya sering mengamalkan perlakuan negatif ini. Ketiadaan guru ketika khidmat mereka ditagih akan menjadikan pelajar hilang punca kerana kebergantungan mereka terhadap guru untuk mendapatkan ilmu. Prestasi pelajar dalam peperiksaan juga akan menurun apabila guru gagal untuk menghabiskan silibus pengajaran seperti yang terkandung dalam rancangan pengajaran mereka.
Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga tidak akan berjalan dengan lancar tanpa kehadiran guru untuk memberi khidmat nasihat dan panduan berguna kepada persatuan dan kelab. Pentadbiran sekolah juga turut bergerak perlahan kerana tidak mendapat kerjasama penuh daripada guru yang bertindak “menghilangkan diri” dalam memastikan segala laporan, kertas kerja dan data pelajar dihantar tepat pada waktunya untuk memudahkan pihak sekolah membuat perancangan tahunan.
Menurut Fletcher (1988), tekanan di tempat kerja bukanlah suatu fenomena yang terpencil, sebaliknya ianya merupakan sesuatu yang biasa berlaku. Kenyataan ini membuktikan bahawa guru juga menerima tekanan di sekolah di mana ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sesiapa sahaja yang sedang berada dalam keadaan tertekan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka dapat keluar dari keadaan tersebut. Bagi guru yang sedang tertekan, tidak mustahil mereka akan terfikir untuk ponteng kerja.
Secara umumnya faktor-faktor yang mendorong kepada kelakuan tersebut boleh dibahagikan kepada tiga iaitu sikap guru, persekitaran dan bebanan kerja.
1. Sikap Guru
Sikap guru ini termasuklah rasa bosan yang terbit dalam diri guru setelah mereka bertahun-tahun di sekolah yang sama dan menjalani rutin harian yang sama. Guru tersebut akan mula berasa bosan dengan perkara yang hampir sama dilaluinya setiap hari. Sikap guru yang tidak bertanggungjwab dan tidak memegang amanah serta mengabaikan kod etika perguruan juga cenderung melakukan kesalah ini secara tidak sengaja. Malah mereka tidak menyedari bahawa mereka telah melakukan kesalahan yang amat berat dan melanggar etika keguruan dan secara tidak langsung merendahkan martabat keguruan dalam diri mereka itu sendiri. Selain ini minat yang hilang untuk mengajar juga merupakan salah satu faktor menyebabkan guru hilang motivasi untuk memberi komitmen yang sepenuhnya kepada sekolah.
2. Persekitaran
Apabila dikaitkan dengan persekitaran, guru yang ditugaskan di persekitaran sekolah yang harmonis akan memberikan komitmen sepenuhnya berbanding sebaliknya. Rakan-rakan kerja yang komited akan mempengaruhi sedikit sebanyak persembahan guru tersebut dalam pekerjaannya. Sekiranya guru itu ditugaskan di sekolah yang persekirannya agak pasif maka guru tersebut akan menjadi pasif dan akhirnya hilang motivasi kerja dan tidak memberi komitmen yang sepenuhnya.
3. Bebanan Kerja
Bebanan kerja guru yang semakin hari semakin meningkat merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah guru ponteng. Tekanan kerja yang dibebani kadang kala menyebabkan mereka tidak bersedia untuk mengajar demi untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Guru mengambil langkah mudah dengan meminta murid untuk melakukan kerja masing-masing sementara guru tersebut menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya oleh pihak pentadbir. Masalah bebanan kerja ini perlu diteliti semula kerana bebanan kerja yang melampau akan menganggu proses P&P guru dan memberi tekanan emosi kepada guru sehinggakan minatnya untuk mengajar terganggu.
Secara keseluruhannya, guru merupakan seorang pendidik yang amat penting untuk mendidik generasi baru untuk mencapai kejayaan mereka. Hal ini juga boleh meningkatkan kelahiran pekerja profesional di negara kita disebakan oleh pendidik yang bertanggungjawab. Maka, negara kita akan semakin maju dan canggih sebab perkhidmatan yang profesional oleh golongan profesional ini. Golongan pendidik dinasihatkan bahawa memberi semangat yang penuh untuk mendidik generasi baru. Setiap pendidik haruslah memikul tanggungjawab mendidik untuk mendidik setiap orang. Sebagai seorang pendidik, apabila dimikul tanggungjawab yang besar ini, laksanakanlah tugas dengan semangat yang penuh supaya tidak mengewakan orang lain.